
Sungguh aku berada dalam dilema sekarang. Ditelan pahit, dibuang sayang.
"Maafkan Zura, bang. Zura tak boleh terima abang dalam masa sekarang." Aku meluahkan apa yang bersarang dalam fikiranku.
"Tolonglah, Zura... jangan buat abang macam ni! Abang benar-benar menyintai Zura." Rayu Abang Syah.
"Sudah terrlambat, bang. Mengapa baru sekarang abang meluahkan pada Zura? Mengapa tidak dulu? Sebelum ada orang lain meluahkannya," balasku berani.
Buat masa ini aku tidak perlu takut-takut lagi untuk berterus-terang. Aku mesti berani!
"Macam mana abang nak luahkan, Zura? Sebelum ni Zura tidak pernah memberi peluang kepada abang untuk berterus-terang. Setiap kali abang mengajak Zura keluar, Zura selalu mengatakan Zura sibuk," tutur Abang Syah perlahan.
"Tapi waktu itu sudah terlewat, bang. Saat itu hati Zura telah remuk dan luluh. Abang sepatutnya bijak bertidak dari dulu lagi. Sebelum hati ini hancur dan berkecai!" jelasku agak tegas.
"Abang tidak terdaya untuk berbuat sedemikian, Zura. Abang bimbang Zura menolak lantas merungkaikan perhubungan kita yang baru berputik saat itu," balsa Abang Syah mempertahankan kebenarannya.
"Abang ego sebenarnya," ujarku membuat kesimpulan.
Abang Syah tertunduk lagi. Entah apa yang bersarang di dalam fikirannya kini.
"Zura, kita kahwin!" Abang Syah kembali menuturkan kata-kata.
"Tak boleh, bang... tak boleh! Zura tak mahu menghampakan sekeping hati insan lain. Insan yang lebih berani daripada abang. Berani berterus-terang," ujarku tidak setuju tetapi itu hanya di mulut. Jauh di sudut hati... masih tersimpan rasa kasih namun malang sekali, hati ini kini mulai rasa sangsi.
__ADS_1
Maafkan Zura, bang...
.
.
.
Sudah seminggu aku berada dalam dilema.
Termenung dan terus termenung. Aku masih mencari jalan penyelesaian. Andai aku terima Doktor Rashdan, apa pula kata Abang Syah dan Dila. Seandainya aku terima Abang Syah, apa pula kata Doktor Rashdan, Dik Mawar dan umi.
Malam kian larut namun mataku masih gagal untuk lelap. Di benak masih tergambar dua insan yang sering terkeliru antara ikhlas dan simpati. Antara budi dan curahan hati.
Seketika aku terkenang peristiwa semalam. Sewaktu aku, Dik Mawar dan Doktor Rashdan bersiar-siar di Pantai Batu Buruk. Bagaikan tidak percaya! Amiza yang dulunya gadis cantik dan penggoda, semalam dia berpakaian kompang-kamping, rambut kusut-masai. Dia berjalan seorang diri di sepanjang jalan pantai sambil menjerit-jerit.
Ah! Inikah balasan Tuhan ke atas setiap hambaNya? Astagfirullahala'zim...
"Zura, belum tidur?" sapa mak cik tiba-tiba.
Tersentak aku seketika. Segera ingatan terhadap kenangan silam bertabur dan terus menghilang.
"Belum, mak cik," jawabku sambil pandanganku beralih ke arah mak cik.
__ADS_1
"Zura, mak cik tahu apa yang Zura tengah fikirkan. Dan mak cik faham," ujar mak cik lembut.
Tersentuh hati aku mendengarnya.
Aku hanya terdiam. Malu untuk berterus-terang tentang apa yang sedang aku rasakan.
"Zura, Syahrul dan Rashdan masing-masing lelaki yang baik. Masing-masing punyai keistimewaan yang tersendiri," jelas mak cik lagi
"Itulah yang membuatkan Zura pening, mak cik," balasku pula.
"Sebaiknya Zura fikirlah semasak-masaknya. Keputusan dari hati Zura sendiri penting. Mak cik tak dapat nak menolong. Andai pada pandangan Zura, Syahrul lebih berhak, pilihlah dia. Tetapi sekiranya Rashdan lebih berhak, pasrahlah Zura menerimanya," jelas mak cik lagi.
Aku menggaguk faham. Mak cik, semenjak ibu tiada baru saat ini aku merasakan diriku disayangi. Terima kasih, mak cik. Mungkin Tuhan telah membuka pintu hatimu untuk menerima aku, anak tirimu untuk disayangi dan menyayangi.
"Mak cik, sebelum tu Zura nak tanya mak cik. Kalau mak cik jadi Zura, mak cik nak pilih siapa? Abang Syah atau Rashdan?" soalku inginkan keyakinan.
"Maafkan mak cik, Zura. Mak cik tak dapat bagi jawapan. Mak cik tak nak mempengaruhi keputusan Zura. Sudah mak cik katakan tadi, kedua-duanya lelaki yang baik," jawab mak cik tegas.
Sekali lagi aku terdiam. Kata-kata mak cik memang ada benarnya.
"Mak cik, apa yang harus Zura lakukan sekarang? Zura juga tak dapat nak buat keputusan yang terbaik," balasku.
"Mak cik syorkan tepat jam tiga pagi nanti Zura bangunlah untuk sembahyang istikharah. Mak cik rasa itulah yang sebaik-baiknya, Zura," ujar mak cik sebelum berlalu.
__ADS_1
"Terima kasih sekali lagi, mak cik. Zura akan ikut nasihat mak cik." Seketika kemudian aku segera bangun menutup lampu untuk melelapkan mata. Jam tiga nanti akan kupastikan agar aku terjaga. Jam lonceng sudah aku letakkan di atas kepala katil.